Home » Hajiji hargai sokongan rakyat, jentera parti dalam majlis khas di Tuaran
Berita GRS Politik

Hajiji hargai sokongan rakyat, jentera parti dalam majlis khas di Tuaran

MESRA:Hajiji dan Juliah disambut meriah oleh hadirin setibanya di Dewan Seri Sulaman.

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Penghargaan dan Terima Kasih yang berlangsung di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Sabtu.

Majlis berkenaan dianjurkan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Ketua Menteri kepada rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran yang terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan beliau dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan agenda pembangunan Sabah.

Ketibaan Hajiji dan Juliah disambut meriah dengan iringan persembahan kebudayaan, bacaan doa serta tayangan video khas yang memaparkan mesej penghargaan dan komitmen berterusan Ketua Menteri terhadap rakyat Sabah.

Dalam ucapannya, Hajiji merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Sabah, jentera parti, penjawat awam serta semua pihak yang terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah secara terancang, inklusif dan mampan.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran negeri merupakan prasyarat utama bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.

“Kestabilan politik membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan secara konsisten, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh tadbir urus serta memastikan pelaksanaan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus, menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada artis tempatan dan jemputan dari Kuala Lumpur, sekali gus mewujudkan suasana mesra serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Antara artis yang membuat persembahan ialah Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey, Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah yang menghiburkan hadirin dengan rangkaian lagu popular sehingga ke penghujung acara.

–TAMAT