Home » Hormati MA63, elak cetus ketegangan wilayah : Agong
Berita GRS Politik

Hormati MA63, elak cetus ketegangan wilayah : Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyampaikan Titah Diraja pada pembukaan Sidang Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan titah agar semua pihak menghormati asas pembentukan negara seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda bertitah, semua pihak perlu kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan semangat perpaduan, saling hormat-menghormati serta kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri.


“Beta menyeru agar semua pihak lebih berhati-hati supaya tidak menghasut hingga menimbulkan ketegangan antara wilayah.

“Sebarang perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan secara matang dan berhemah, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena pembukaan Sidang Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Seri Paduka turut menegaskan bahawa hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, namun kepentingan negara secara keseluruhan hendaklah terus menjadi keutamaan.

“Setiap pembahasan, keputusan dan undian yang dibuat di Dewan ini bukan sekadar mencerminkan pendirian politik parti, tetapi akan menentukan hala tuju serta masa depan negara.

“Oleh itu, laksanakanlah tanggungjawab ini dengan penuh amanah, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat,” titah Baginda.

Dalam titah sama, Seri Paduka turut mendoakan agar Malaysia terus maju dan makmur, kekal aman dan tenteram, serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sejahtera dan harmoni.

–TAMAT