Home » Masidi terima kunjungan hormat delegasi ConocoPhillips
Berita GRS Politik

Masidi terima kunjungan hormat delegasi ConocoPhillips

Datuk Seri Panglima Masidi bergambar bersama delegasi ConocoPhillips dan pengurusan SMJ Energy selepas sesi perbincangan berkaitan kerjasama strategik sektor tenaga.

KOTA KINABALU:Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, menerima kunjungan hormat delegasi syarikat tenaga multinasional dari Amerika Syarikat, ConocoPhillips, di pejabatnya di sini, hari ini.

Kunjungan hormat yang diketuai Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn, bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta membincangkan perkembangan semasa dan potensi kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas, khususnya melibatkan operasi dan pelaburan syarikat itu di negeri Sabah.

Dalam pertemuan berkenaan, Datuk Seri Masidi telah diberikan taklimat mengenai hala tuju serta perancangan strategik ConocoPhillips, termasuk aspek keselamatan operasi, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar serta komitmen syarikat terhadap pembangunan industri tenaga yang mampan.

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (kiri) bersama Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn (kanan), semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Kota Kinabalu.

Beliau menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri Sabah dan pemain industri tenaga global bagi memastikan sektor minyak dan gas terus menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, kerjasama strategik itu bukan sahaja berupaya meningkatkan hasil negeri, malah berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta menyokong pembangunan rantaian industri tenaga di Sabah.

“Keterlibatan syarikat antarabangsa seperti ConocoPhillips amat penting dalam memastikan industri tenaga Sabah kekal berdaya saing, mampan dan selari dengan keperluan peralihan tenaga global,” katanya.

Kunjungan hormat itu turut mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara Kerajaan Negeri Sabah dan ConocoPhillips, sekali gus memperlihatkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik demi pembangunan sektor tenaga negeri secara berterusan.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Kejuruteraan Pembangunan ConocoPhillips Malaysia, Ian Lim; Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd, Datuk Dr Dionysia Kibat; Pengarah Eksekutif Upstream SMJ Energy, Datuk Albert Lo; serta Pengarah Eksekutif OGSE dan Korporat SMJ Energy, Terry Biusing.

–TAMAT