KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menolak dakwaan pembangkang bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebuah kerajaan yang gagal.
Katanya, tuduhan itu tidak berasas kerana kerajaan negeri di bawah GRS terbukti berjaya menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, meningkatkan hasil negeri dan melaksanakan ratusan inisiatif pembangunan rakyat.
“Kalau benar kita gagal, sudah tentu kita tidak mampu meningkatkan hasil negeri kepada RM7 bilion berbanding hanya RM4 bilion sebelum ini. Kalau gagal, kita tidak akan mampu menyalurkan bantuan kepada ratusan ribu rakyat,” katanya ketika menghadiri Program Ramah Mesra Komuniti Sabah Maju Jaya (SMJ) bersama Ketua Menteri di Kampung Pantai Emas, pada Sabtu ,di sini.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, sejak mengambil alih pentadbiran, kerajaan telah melaksanakan hampir 400 inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, dengan 94 peratus daripadanya sudah direalisasikan.
Antara pencapaian utama termasuk perbelanjaan RM1.49 bilion untuk manfaat lebih 336,000 penerima bantuan kebajikan antara 2021–2024, tambahan RM385.5 juta bagi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang membantu 100,000 isi rumah miskin, serta RM488.5 juta pada tahun ini khusus untuk pembasmian kemiskinan melalui Pangkalan Data Sabah (PADANs).
Dalam bidang pendidikan, Hajiji berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan sejak 2021, termasuk meningkatkan biasiswa negeri kepada RM138 juta tahun ini berbanding RM50 juta sebelum ini.
Beliau turut menegaskan bahawa GRS meneroka sektor baharu termasuk Ekonomi Biru dan memperkukuh penglibatan negeri dalam industri minyak dan gas selepas termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) bersama PETRONAS.
“Parti lawan suka mendakwa merekalah yang memulakan segalanya termasuk Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), padahal ia sudah lama wujud. Saya perlu jelaskan perkara ini kerana tidak mahu rakyat diperdaya pembohongan pembangkang,” tegasnya.
Hajiji dalam majlis itu turut menyeru rakyat agar terus menyokong GRS dengan memastikan kemenangan semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Kota Belud.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan geran tanah PANTAS kepada 10 penerima mewakili 502 keluarga lain, selain penyerahan bantuan kebajikan, kunci Rumah Mesra SMJ, serta sumbangan kepada 66 sekolah di daerah ini.
— TAMAT

























Add Comment