KOTA KINABALU: Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung penghormatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar dijadikan pedoman bersama dalam memperkukuh kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi menyelesaikan tuntutan berkaitan secara berhemah dan berlandaskan Perlembagaan.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata penegasan Baginda agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia , yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama antara Sabah, Sarawak, Semenanjung serta Kerajaan Persekutuan , merupakan peringatan tepat pada masanya.
Menurutnya, pembentukan Malaysia diasaskan atas semangat perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama, bukannya perbezaan pandangan yang boleh mencetuskan perpecahan.
“Sebagai generasi muda Sabah, kami memperjuangkan hak negeri bukan untuk memecah-belahkan, sebaliknya bagi memperkukuh Persekutuan.
“Justeru, usaha menuntut dan menunaikan hak Sabah di bawah MA63, termasuk Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri, perlu diteruskan secara konsisten melalui saluran perundingan yang matang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Azrul berkata komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama Kerajaan Persekutuan melalui pendekatan berunding, berfakta dan berpandukan Perlembagaan, telah menunjukkan kemajuan yang ketara.
Katanya, beberapa tuntutan MA63 telah berjaya direalisasikan, manakala baki tuntutan lain sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui kesepakatan dan kerjasama dua hala.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa ketegasan tidak memerlukan retorik berlebihan, dan keberanian tidak harus disandarkan kepada hasutan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan titah Seri Paduka Baginda agar hak-hak negeri terus dihormati tanpa mengabaikan kepentingan negara perlu difahami secara seimbang dan matang oleh semua pihak.
“Memperjuangkan hak Sabah bukan bermakna menafikan semangat Persekutuan. Sebaliknya, pembangunan Sabah yang adil dan bermaruah akan memperkukuh kestabilan, kemakmuran serta perpaduan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Azrul menyeru golongan muda agar menolak politik yang memperbesarkan perbezaan, sebaliknya mengutamakan politik penyelesaian berasaskan kebijaksanaan, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap masa depan negeri dan negara.
–TAMAT

























Add Comment