Home » HSN platform budayakan sukan dalam masyarakat
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

HSN platform budayakan sukan dalam masyarakat

Pegawai Daerah Kunak, Awang Haji Mohd Yusof berkata, Pejabat Daerah Kunak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif melaksanakan program-program berunsurkan kecergasan sempena HSN di sini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif dan Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau, Mohamad Ali Abdul Sari.

KUNAK: Hari Sukan Negara (HSN) adalah usaha yang dilakukan oleh kerajaan ke arah membudayakan sukan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Pegawai Daerah Kunak, Awang Haji Mohd Yusof berkata, pihaknya turut menyahut seruan kerajaan untuk merealisasikan HSN di daerah ini.

Katanya, Pejabat Daerah Kunak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif melaksanakan program-program berunsurkan kecergasan sempena HSN di sini.

“Objektif penganjuran HSN ini adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental masyarakat di daerah ini.

“Selain itu, ia juga dapat mengenal pasti bakat sukan, meningkatkan produktiviti, menjana kesejahteraan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam majlis HSN Peringkat Bahagian Tawau Tahun 2023 di Kunak, baru-baru ini.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia perlu menjadikan sukan sebagai gaya hidup supaya terus kekal sihat dan cergas dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Katanya, kerajaan juga mahu merealisasikan Visi Sukan Negara 2030, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Sukan.

“HSN adalah satu program ikonik tahunan rakyat Malaysia yang akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.

“Sambutan HSN telah ditetapkan pelaksanaannya iaitu setiap hari Sabtu minggu kedua pada bulan Oktober setiap tahun,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif dan Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau, Mohamad Ali Abdul Sari.

-Hamzah Sanudin