KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) diminta membantu Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyampaikan pencapaian kerajaan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, banyak inisiatif dan kejayaan kerajaan telah dilaksanakan, namun kurang dihebahkan secara menyeluruh sehingga sebahagiannya tidak diketahui rakyat.
Menurutnya, kelemahan dalam penyampaian maklumat turut menyebabkan isu-isu yang sering dibangkitkan di media sosial seperti bekalan air, elektrik dan jalan rosak lebih menonjol, walaupun usaha menanganinya sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“PPM boleh dianggap sebagai mata dan telinga kerajaan di lapangan. Tugas utama adalah membantu menjelaskan dasar, program serta kejayaan kerajaan kepada rakyat.
“Justeru, saya minta semua PPM membantu menyebarkan pencapaian kerajaan. Banyak kejayaan yang telah kita laksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Aku Janji Jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Negeri Sabah di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Hajiji berkata, melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri berjaya memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID-19, meningkatkan hasil negeri daripada kira-kira RM4 bilion kepada RM7 bilion, selain menaikkan rizab negeri melebihi RM8.6 bilion.
“Pencapaian ini perlu disebarkan supaya rakyat mengetahui prestasi sebenar kerajaan. Begitu juga dalam aspek pelaburan. Sebagai contoh, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini penuh dengan pelabur, termasuk pelaburan baharu dari Singapura bernilai RM31 bilion yang dijangka mewujudkan antara 6,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Menurutnya, jika kerajaan GRS gagal, kawasan perindustrian seperti SOGIP dan taman-taman perindustrian lain di Sabah mungkin masih kosong kerana ketiadaan pelabur.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan memperkukuh pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dijadualkan dilancarkan hujung bulan ini bagi memantapkan agenda ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Katanya, pelaksanaan SMJ sejak 2021 telah meletakkan asas pembangunan yang kukuh dan memberi manfaat merentasi pelbagai sektor.
Selain aspek ekonomi, beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat serta penambahbaikan infrastruktur asas seperti bekalan air dan jaringan jalan raya melalui perancangan strategik di bawah SMJ 2.0.
Beliau menegaskan bahawa isu pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan akan terus dibangkitkan dalam perbincangan bersama kerajaan pusat demi kepentingan rakyat Sabah.
Mengucapkan tahniah kepada semua PPM yang mengangkat sumpah, Hajiji berharap mereka memainkan peranan aktif menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat serta menjelaskan dasar dan program kerajaan dengan berkesan.
“Saya mahu semua PPM menjalankan tugas dengan penuh integriti dan komitmen demi masa depan Sabah dan generasi akan datang,” katanya.
Seramai 45 PPM Negeri Sabah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani Aku Janji pada majlis berkenaan.
–TAMAT

























Add Comment