LABUAN: Rancha Power Sdn Bhd mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan sektor tenaga di Labuan menerusi majlis pecah tanah pembinaan loji jana kuasa berasaskan gas baharu berkapasiti 120 megawatt (MW) di Estet Perindustrian Rancha-Rancha, di sini, pada Selasa.
Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Fadillah berkata projek berkenaan amat penting bagi menjamin keterjaminan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Labuan.
“Loji jana kuasa ini direka untuk penjanaan fleksibel dengan margin rizab yang mencukupi, sekali gus membolehkan bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan sektor kediaman, komersial dan perindustrian di seluruh pulau,” katanya.
Menurut Petronas, loji baharu itu akan dibangunkan kira-kira dua kilometer dari Stesen Janakuasa Patau-Patau, yang kini menjadi sumber utama bekalan elektrik Labuan dan dijadual menamatkan operasinya pada 31 Disember 2027.
“Pembinaan Loji Jana Kuasa Rancha ini penting bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik serta menyokong pertumbuhan keperluan tenaga masa depan Labuan, merangkumi sektor kediaman, komersial dan perindustrian,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Rancha Power, Abdul Aziz Othman, berkata projek berkenaan merupakan langkah transformatif dalam memperkukuh daya tahan sistem tenaga Labuan serta menyokong pembangunan ekonomi serantau.
“Selain meningkatkan keterjaminan tenaga, projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan perindustrian sekitarnya, memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, serta mempercepat pembangunan keupayaan industri tempatan,” katanya.
Beliau berkata, projek itu turut mengukuhkan peranan Rancha Power dalam pembangunan infrastruktur tenaga Labuan dan menyokong agenda peralihan tenaga negara secara lebih menyeluruh.
“Ini sekali gus membuka laluan ke arah sistem tenaga yang lebih boleh dipercayai, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan pulau ini,” katanya.
Rancha Power Sdn Bhd merupakan usaha sama tiga pihak melibatkan PG Energia Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Gas Bhd; SEC Power Sdn Bhd, unit kepada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd; serta Sustainable Power Sdn Bhd, anak syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd.
–TAMAT

























Add Comment