Home » James Ratib pelopori transformasi digital kebajikan Sabah
Berita GRS Politik

James Ratib pelopori transformasi digital kebajikan Sabah

MESYUARAT: James mempengerusikan Mesyuarat PADUNEGERI Sabah Bilangan 1 2023 mencerminkan visi transformasi digital kebajikan.

KOTA KINABALU: Pendekatan kebajikan rakyat Sabah mengalami perubahan ketara dalam kepimpinan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib sejak Januari 2023 apabila fokus tradisional diganti dengan pendekatan digital dan menyeluruh.

Antara tonggak utama ialah pelaksanaan kebajikan digital yang bertujuan mempermudah akses bantuan dan meminimumkan birokrasi.

Pada Mac 2023, KPMKR melancarkan portal rasmi pengagihan bantuan secara dalam talian yang membolehkan rakyat mendaftar dan mengesahkan kelayakan tanpa menggunakan borang fizikal.

Sejak dilancarkan, ribuan keluarga B40 sudah mendaftar melalui aplikasi mudah alih yang secara tidak langsung menurunkan kos operasi serta mempercepatkan proses bantuan.

Sistem ini turut diselaraskan dengan pangkalan data e-Kasih yang membolehkan KPMKR mengenal pasti penerima layak secara automatik selain memantau impak bantuan terhadap kesejahteraan rakyat.

Selain itu, pendekatan digital turut diperluas kepada pusat khidmat bergerak di kawasan luar bandar bagi memastikan golongan kurang celik teknologi tidak tersisih dalam pelaksanaan program baharu ini.

KPMKR juga memperkukuh program untuk kanak-kanak berkeperluan khas dengan memperluas capaian bantuan dan keperluan khusus selari dengan prinsip kebajikan inklusif dan saksama.

Transformasi digital ini menjadi pemangkin kepada perubahan sistem kebajikan Sabah ke arah model lebih mampan, telus dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran sosioekonomi masa depan.

Dalam memperkukuh infrastruktur sokongan, kementerian turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meningkatkan capaian internet di pusat komuniti pedalaman.

Langkah ini penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan atas talian, termasuk mendaftar bantuan, mengikuti kursus kemahiran dan mengakses perkhidmatan kaunseling digital.

 Kunjungan hormat Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sabah kepada James menunjukkan kolaborasi antara agensi dalam digital dan bantuan kebajikan.
KUNJUNGAN: Kunjungan hormat Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sabah kepada James menunjukkan kolaborasi antara agensi dalam digital dan bantuan kebajikan.

Pada Ogos 2024, satu modul pemantauan data kesejahteraan diperkenalkan bagi membolehkan pegawai kebajikan menilai peningkatan taraf hidup penerima bantuan secara masa nyata.

Setakat Julai 2025, KPMKR merekodkan peningkatan kepuasan rakyat terhadap sistem bantuan kepada 92 peratus berbanding hanya 67 peratus pada tahun sebelumnya.

James berkata, pendekatan digital ini bukan sahaja menjimatkan kos kerajaan dalam jangka panjang malah menjadikan sistem penyampaian bantuan lebih efisien, terbuka dan berfokus kepada impak jangka panjang.

Beliau turut menekankan kepentingan latihan berterusan kepada petugas kebajikan negeri agar mereka mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan masyarakat yang semakin kompleks. 

Katanya, pengetahuan digital yang kukuh dalam kalangan penjawat awam adalah kunci kejayaan pelaksanaan inisiatif kebajikan moden.

Sebagai pelengkap kepada transformasi ini, kementerian juga sedang merangka Pelan Tindakan Kebajikan Digital Sabah 2026–2030 yang bakal menjadi panduan strategik bagi kesinambungan dasar kebajikan berasaskan data, teknologi dan inklusiviti di seluruh negeri. 

–Vivi Olviana Najurus