Home » Jangan Bergantung Sepenuhnya pada Media Sosial :Razali
Berita GRS Politik

Jangan Bergantung Sepenuhnya pada Media Sosial :Razali

SERAH: Razali (tengah) menyerahkan replika cek kepada Pengetua KTEKK, Suhaibul Kassim, turut kelihatan Abqaree (kiri).

KOTA KINABALU: Golongan belia diingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada media sosial sebagai sumber maklumat utama, sebaliknya perlu menilai kesahihan sesuatu berita melalui saluran sahih.

Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi, berkata anak muda perlu lebih bijak berfikir dan mendapatkan pandangan daripada pihak yang dipercayai.

“Jangan terlalu percaya dengan apa yang dihidangkan dalam media sosial. Kita perlu bijak menilai serta mendapatkan nasihat daripada guru, ibu bapa atau pihak berkuasa bagi memastikan maklumat itu sahih,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Tamu Suara 360 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK), Rabu lalu.

Razali berkata, walaupun media sosial mempunyai manfaat, ia juga boleh mengundang risiko sekiranya digunakan tanpa kawalan dan tanpa semakan fakta.

Beliau menambah, pemimpin juga perlu lebih banyak mendengar suara anak muda supaya pandangan tersebut dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada mereka.

Menurutnya, program Tamu Suara 360 itu mendapat sambutan baik daripada para pelajar yang berpeluang berkongsi idea serta pandangan sepanjang sesi berlangsung.

Turut hadir merasmikan program ialah Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.

Dalam majlis itu, sejumlah sumbangan RM5,000 turut diserahkan kepada KTEKK.

— TAMAT