KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas mempertahankan pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, sebagai Pengerusi baharu Sabah Development Berhad (SDB), sambil menegaskan bahawa pelantikan itu selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Ketua Bahagian Likas, Mohd Bahrin Abdul Karim, berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan oleh DAPSY Sabah, parti-parti pembangkang serta sebahagian masyarakat berhubung pelantikan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, walaupun Dr Yusof berdepan pertuduhan berkaitan kes rasuah melibatkan dakwaan suapan berhubung lesen carigali mineral di Sabah, perkara itu masih berada dalam proses perundangan dan belum diputuskan oleh mahkamah.
“Dr Yusof telah menafikan sebarang salah laku, memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah mengaku tidak bersalah di mahkamah.
“Gagasan Rakyat Bahagian Likas menyokong pelantikan yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, selaras dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang iaitu seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Bahrin, kewujudan kes mahkamah yang masih berjalan tidak boleh dianggap sebagai satu sabitan kesalahan dan juga tidak secara automatik melucutkan kelayakan seseorang individu untuk memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata, pelantikan berkenaan mencerminkan pendirian Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menolak sebarang cubaan mempolitikkan proses pelantikan atau membentuk persepsi awam seolah-olah individu terbabit telah bersalah sebelum keputusan muktamad mahkamah dibuat.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara serta tadbir urus institusi awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa sayap pemuda DAP Sabah (DAPSY) agar tidak mengambil pendekatan yang dilihat bermotifkan kepentingan politik semata-mata, sebaliknya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Semua pihak wajar bersikap matang, berpegang kepada fakta serta memberi ruang kepada institusi kehakiman menjalankan tanggungjawabnya tanpa tekanan atau persepsi negatif yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment