KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Brig. Jen. (Kehormat) Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said, menempelak kenyataan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berisiko menjadi liabiliti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta bercanggah dengan seruan kestabilan politik yang sering dilaungkan PKR.
“Mustapha bercakap soal kestabilan, tetapi dalam masa sama melabelkan GRS sebagai liabiliti. Jangan jadikan GRS sebagai kambing hitam semata-mata kerana kegusaran politik parti sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri melalui peningkatan hasil negeri, pertambahan pelaburan, pembangunan infrastruktur dan keutamaan kebajikan rakyat.
Jerry berkata, rakyat kini muak dengan retorik politik dan mahu melihat kesinambungan pembangunan serta kestabilan sebenar.
Beliau turut menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu mengelak pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan GRS, sambil menegaskan bahawa tindakan melabelkan GRS sebagai liabiliti hanya melemahkan perpaduan.
“GRS bukan liabiliti, sebaliknya aset kepada kestabilan Sabah. Menafikan perkara ini sama seperti menafikan keyakinan rakyat Sabah sendiri,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment