Home » Jasnih tegur Mustapha supaya lebih berhati-hati buat kenyataan
Berita GRS Politik

Jasnih tegur Mustapha supaya lebih berhati-hati buat kenyataan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, menegur kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, yang sebelum ini menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH).

Jasnih, yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pantai Dalit, berkata pandangan itu tidak berasas dan boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakan gabungan kerajaan.

“Saya tidak pasti apa asas atau motif beliau menyatakan GRS sebagai liabiliti kepada PH. Ramai kawan saya dalam PKR atau PH, tetapi kenyataan seperti ini jarang saya dengar,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau mengingatkan Mustapha supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap imej diri sendiri.

“Jangan terlalu teruja sehingga menampakkan kelemahan. Keyakinan yang berlebihan boleh membawa kepada keangkuhan… dan tiada siapa yang tidak boleh diganti,” katanya.

Jasnih turut menasihati agar sebarang pandangan berbeza dibincangkan melalui saluran dalaman parti, bukan secara terbuka yang boleh mencetuskan polemik.

Beliau menegaskan, kestabilan politik negeri perlu menjadi keutamaan kerana ia berkait rapat dengan usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat di bawah dasar Sabah Maju Jaya (SMJ).




— TAMAT