KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Kawang menegur kenyataan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, yang menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berisiko menjadi liabiliti kepada partinya.
Ketuanya, Azrul Ibrahim, yang juga Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, berkata tuduhan itu dilihat sebagai usaha menutup kelemahan PKR yang berdepan sentimen negatif rakyat.
Beliau merujuk isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina yang menurutnya menunjukkan kegagalan pemimpin PKR dalam kerajaan mengurus komunikasi berkesan dengan rakyat, sekali gus membuka ruang kepada fitnah dan maklumat palsu.
“Sekiranya benar GRS liabiliti, Mustapha patut berani mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya tidak bekerjasama dengan GRS pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Azrul menegaskan, GRS kekal konsisten membawa agenda kestabilan politik, pemulihan ekonomi, menarik pelaburan baharu dan membela rakyat melalui dasar yang jelas.
“Itulah rekod sebenar yang dinilai rakyat, bukannya retorik politik sempit,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment