Home » Jentera akar umbi penggerak utama kekuatan parti – Mizma
Berita GRS Politik

Jentera akar umbi penggerak utama kekuatan parti – Mizma

TURUN PADANG: Mizma ketika mengadakan program turun padang bertemu dengan ahli-ahli baharu cawangan.

LAHAD DATU: Jentera parti di peringkat akar umbi kekal sebagai penggerak utama yang memastikan segala dasar dan agenda parti dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Silam, Datuk Mizma Appehdullah, berkata jentera perlu sentiasa komited dan berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pemimpin serta parti dengan rakyat di peringkat bawah.

“Peranan jentera bukan hanya terbatas kepada penyampaian maklumat dan perjuangan parti, malah mereka juga adalah mata dan telinga kepada parti dalam memahami masalah rakyat.

“Ibarat pepatah sambil menyelam minum air. Sambil menjalankan gerak kerja parti, kita juga menyelami keadaan rakyat serta menyampaikan maklumat kepada kepimpinan agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama ahli-ahli cawangan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Teluk Soaian, di sini, baru-baru ini.

Mizma yang juga Ketua Wanita GRS Zon 6B berkata, Gagasan Rakyat Silam sentiasa memberi penekanan kepada pengukuhan jentera akar umbi bagi memastikan perjuangan parti terus relevan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Katanya, penyertaan aktif jentera dalam program kemasyarakatan bukan sahaja memperkukuh semangat kekitaan, malah turut memupuk kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan perjuangan parti.

“Setiap ahli parti perlu berikan komitmen sepenuhnya. Kekuatan sesebuah parti bukan hanya terletak pada pucuk pimpinan semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kesungguhan jentera akar umbi yang bekerja tanpa jemu.

“Mari kita terus berganding bahu dan bekerja dengan ikhlas, bukan sekadar meraih sokongan, tetapi yang lebih penting ialah memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mizma turut mengalu-alukan penyertaan ahli baharu dalam cawangan GRS, khususnya di kawasan Silam.

Katanya, perkembangan itu membuktikan semakin ramai rakyat yakin terhadap kepimpinan dan gerak kerja GRS dalam usaha membangunkan negeri Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

–Hamzah Sanudin