Home » Rekod khidmat kawasan jadi penentu PRN Sabah
Berita GRS Politik

Rekod khidmat kawasan jadi penentu PRN Sabah

Penganalisis Lee Kuok Tiung berkata Hajiji Noor dilihat mempunyai kelebihan dalam konteks politik semasa berbanding Shafie Apdal dan Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU : Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, calon Ketua Menteri kini berada di bawah pemerhatian kritikal rakyat yang semakin matang menilai kepimpinan. Menurut penganalisis politik, ukuran sebenar bukan lagi retorik politik, tetapi rekod pencapaian di kawasan masing-masing.

Penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES), Syahrudin Awang Ahmad, berkata pengundi hari ini lebih meneliti kemampuan wakil rakyat menyelesaikan isu asas seperti jalan raya rosak, bekalan air, dan kemudahan pendidikan.

“Seorang calon yang gagal membangunkan kawasan sendiri berisiko menghadapi cabaran sama sekiranya diberi mandat memimpin negeri,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Syahrudin berkata, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin antara pemimpin yang bakal berdepan persoalan berhubung kemampuan memimpin Sabah.

Shafie, yang kini Ahli Parlimen Semporna dan Adun Senallang, pernah berkhidmat sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2009–2015) serta menjawat jawatan Ketua Menteri (2018–2020). Namun, beliau sering dikritik kerana gagal menyelesaikan isu kemiskinan, prasarana asas dan kebersihan bandar Semporna.

Bung Moktar pula, meskipun lama mewakili Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, masih berdepan kritikan mengenai keadaan jalan raya dan bekalan air di kawasannya. Malah, ketika memegang portfolio Menteri Kerja Raya (2020–2023), masalah itu tetap berulang.

“Percanggahan antara kedudukan kuasa tinggi dan kegagalan mengurus isu tempatan menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi, khususnya pengundi muda dan atas pagar,” kata Syahrudin.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lee Kuok Tiung, berkata fenomena media sosial mempercepatkan pendedahan kelemahan wakil rakyat.

“Ia menjadikan cabaran Shafie dan Bung lebih sukar, kerana pengundi boleh menilai dan membandingkan sendiri keadaan di kawasan mereka,” ujarnya.

Lee menambah, dalam konteks politik semasa, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dilihat mempunyai kelebihan.

Beliau berkata, Hajiji bukan sahaja berjaya mengharungi cabaran politik seperti Langkah Kinabalu, malah melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), pelbagai pembaharuan dan program pembangunan telah dilaksanakan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Pengundi lebih cenderung memilih kepimpinan yang terbukti melaksanakan dasar untuk kesejahteraan rakyat berbanding retorik semata-mata,” katanya.

— TAMAT