KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang meneliti cadangan pembinaan satu pusingan U (U-turn) tambahan di Jalan Berungis-Tebobon bagi mengurangkan kesesakan trafik yang sering membelenggu pengguna.
Timbalan Pengarah JKR Sabah, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid berkata, cadangan itu dikemukakan penduduk setempat dan dilihat mampu memendekkan jarak pusingan U yang kini hanya terdapat di kawasan Bandar Sierra.
“Jika dilaksanakan, penduduk Kampung Tebobon boleh menggunakan pusingan U baharu berhadapan bangunan Telekom Malaysia (TM) tanpa perlu berpatah balik jauh ke Bandar Sierra. Kita jangka pelaksanaannya boleh disiapkan dalam tempoh sebulan hingga enam minggu,” katanya selepas sesi taklimat pengurusan trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP08 di Pejabat Tapak WP08 Bandar Sierra, kelmarin.
Jangka Panjang: Flyover & Siap Penuh 2026
Mohd Shamsul memaklumkan, kerja utama lebuh raya turut dipercepatkan dengan laluan WP07 dijangka siap hujung tahun ini, manakala WP08 pada 2026. Tambahan skop pembinaan mini flyover di Tuaran juga dijadual siap pada tahun sama.
“November ini, laluan Tobobon hingga persimpangan Norowot yang mempunyai flyover akan dibuka sepenuhnya. Ini akan memberi impak besar kerana pengguna tidak lagi perlu membuat pusingan U jauh,” jelasnya.
Reaksi Pemimpin Setempat
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, menyambut baik penjelasan JKR dan menzahirkan penghargaan terhadap usaha yang dilakukan.
“Kami diberi jaminan masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat. Untuk jangka panjang, rakyat perlu bersabar sehingga projek siap sepenuhnya. Apa yang penting, JKR mendengar suara penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris, berkata penjelasan itu akan disampaikan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Sekurang-kurangnya hari ini kita diberi penerangan jelas mengenai status projek Pan Borneo di kawasan Karambunai, dan maklumat ini akan kita jelaskan kepada penduduk,” ujarnya.
— TAMAT

























Add Comment