Home » Kerajaan Persekutuan Perlu Tangani Isu Kemiskinan Digital & Infrastruktur Asas Di Sabah
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Kerajaan Persekutuan Perlu Tangani Isu Kemiskinan Digital & Infrastruktur Asas Di Sabah

Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan berkata justifikasi penaiktarafan itu dalam aspek kesihatan dan perubatan rakyat, ia amat mendesak serta harus diberi perhatian serius.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu turut memberi fokus kepada penyelesaian menghadapi cabaran kemiskinan digital di Sabah, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan.

Katanya, Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) harus mengambil langkah strategik yang terarah dan terpadu kerana transformasi digital semakin penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial yang menuntut respons yang komprehensif.

Beliau yang memuji perlaksanaan RMK-12 khususnya dalam isu digitalisasi dan teknologi sejajar dengan proses negara beralih sepenuhnya ke arah penggunaan teknologi digital.

“Bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bakal dilancurkan tidak lama lagi untuk melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0, selain itu Kerajaan Madani melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI) akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi membantu belia menceburkan diri dalam sektor pembuatan.

“Namun, perlu disedari keadaan infrastruktur yang ada di Sabah amat menyedihkan, yang mungkin akan merencatkan pelaksanaannya kelak”, katanya ketika membahas Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Negara pada Khamis.

Bobbey berkata, latihan dan pendidikan literasi digital harus disuburkan, budaya e-commerce atau e-dagang boleh dikembangkan melalui dorongan pengembangan dan distribusi penggiat digital seperti pendidikan secara atas talian, informasi kesihatan, dan peluang perniagaan yang terbuka.

Menurutnya, ini tidak hanya memperkaya pengetahuan masyarakat, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi setempat. Penglibatan pihak swasta juga dapat membantu mempercepat solusi dengan merangsang firma digital dalam penyediaan pelan akses internet dengan mendirikan pusat teknologi digital yang memberikan akses dan latihan kepada masyarakat.

Sehubungan itu beliau mohon penjelasan daripada pihak kerajaan pada tahap manakah setakat ini keupayaan peluasan infrastruktur digital di bawah program “Jendela” yang membolehkan 100 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk dalam RMK-12 telah disempurnakan?

“Saya difahamkan infrastruktur digital baharu di 382 tapak akan disediakan dan sebanyak 781 Points of Presence (POP) sedang dilancurkan di Sabah, tetapi sehingga hari ini masih banyak kawasan yang tidak dapat mengakses rangkaian Internet, sedangkan infrastruktur ini diperlukan bagi membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan kawasan komersial mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

“Inisiatif ini penting khususnya dalam menjayakan agenda merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada 2025. Saya mohon agar kementerian yang diamanahkan agar dapat merealisasikan inisiatif murni dengan kadar segera”, tegasnya.

Menyentuh intrastruktur asas di Sabah, Bobbey berkata, Isu keperluan asas di Sabah juga perlu dititikberatkan kerana kurangnya infrastruktur asas akan menyebabkan kelembapan proses pergerakan ekonomi.

Katanya, isu keciciran pendidikan dan kesihatan luar bandar seharusnya sudah dinoktahkan pada dekad ini, jika negara mahu menjadi juara khidmat sosial dalam kalangan kerajaan yang ada di Asia Tenggara.

Sehubungan itu beliau mahu projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah khususnya di Sabah disegerakan.

“Setakat ini, kita dimaklumkan sebanyak 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek di Sabah. Menteri Kewangan juga menjanjikan, sebuah Pusat Darah Wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak. Ini ditambah lagi dengan pelaksanaan 1200 projek naik taraf klinik daif di seluruh negara.

“Saya berharap janganlah dilupakan projek baru untuk membina pusat pendidikan dan kesihatan khususnya di kawasan yang sukar diakses seperti kawasan hutan pedalaman dan pulau-pulau di wilayah Sabah yang masih ketiadaan sekolah dan klinik”, tegasnya.

Dalam usaha menuju pembangunan makmur, inklusif dan mampan, Bobbey percaya dengan kebijakan yang telah dirancang dan pelaksanaan yang telus dalam Kerajaan Perpaduan hari ini dapat direlisasikan.

Katanya, Wilayah Sabah khususnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga sentiasa komited untuk bekerjasama bagi memastikan aspirasi rakyat yang mahukan kemajuan setara dengan wilayah dan negeri lain dalam Malaysia akan tercapai.

RMKe-12 telah dimulakan sejak 3 tahun lalu dan masih mempunyai baki 2 tahun lagi, bliau berharap agar segala usaha pelaksanaan yang baik khususnya untuk Sabah, Sarawak dan Malaysia amnya di bawah RMK-12 dapat dijadikan kenyataan dengan kadar segara dan secara ikhlasnya.

Tamat.