Home » Persekutuan gagal tunai hak 40% hasil Sabah ,mandamus dikeluarkan
Berita GRS Politik

Persekutuan gagal tunai hak 40% hasil Sabah ,mandamus dikeluarkan

Bangunan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, lokasi keputusan bersejarah yang mengisytiharkan Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan hak 40 peratus hasil Sabah dan mengarahkan semakan semula dalam tempoh 90 hari.


KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional”, serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah tidak sah bagi pihak Persekutuan untuk membuat pemberian khas sebagaimana yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh,” katanya ketika menyampaikan keputusan tersebut.

Dalam penghakiman itu, Mahkamah membenarkan sepenuhnya permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), dan mengisytiharkan Perintah Semakan Kedua dan Ketiga yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai tidak sah.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Langkah ini bertujuan untuk menegakkan semula hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Perintah tersebut menetapkan supaya semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.


Selain itu, Mahkamah turut mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan beberapa bahagian dalam tiga warta kerajaan yang berkaitan dengan pemberian khas tersebut.

Kes berkenaan dimulakan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan Kerajaan Persekutuan menegakkan hak Sabah terhadap hasil 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

— TAMAT