Home » Sabah alu-alukan Singapura buka konsulat di Kota Kinabalu
Berita GRS Politik

Sabah alu-alukan Singapura buka konsulat di Kota Kinabalu

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan cenderamata kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon pada kunjungan hormat di Menara Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Republik Singapura untuk membuka pejabat konsulatnya di Kota Kinabalu pada tahun ini, yang dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara Sabah dan negara berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembukaan konsulat Singapura di Sabah mempunyai kepentingan strategik merangkumi aspek ekonomi, diplomatik, pelaburan, perdagangan dan keselamatan.

Menurut beliau, kehadiran konsulat itu diyakini dapat memperluas jalinan kerjasama antara Sabah dan Singapura, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pembukaan pejabat konsulat Singapura di Sabah pada tahun ini. Ia merupakan satu perkembangan positif yang mampu mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Sabah dan Singapura,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, beliau turut mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pelabur dari Singapura untuk menerokai sektor-sektor berdaya saing di Sabah, selain menggalakkan peningkatan ketibaan pelancong dari republik berkenaan.

Sementara itu, Vanu Gopala Menon memaklumkan bahawa Singapura akan membuka pejabat konsulat di Sabah dan Sarawak selepas memperoleh kelulusan rasmi daripada Kerajaan Malaysia pada bulan lalu.

Terdahulu, pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyambut baik kelulusan Malaysia terhadap cadangan pembukaan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

–TAMAT