Home » Manfaatkan Jelajah Wanita GRS jelaskan dasar serta perjuangan kerajaan -Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Politik

Manfaatkan Jelajah Wanita GRS jelaskan dasar serta perjuangan kerajaan -Hajiji

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mewakili Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Jelajah Wanita GRS Zon 1B Parlimen Tuaran dan Parlimen Kota Belud, di sini kelmarin.

TUARAN: Manfaatkan Program Jelajah Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menjelaskan dasar serta perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, program yang dilancarkan pada Julai lalu penting dan mahu wanita GRS memainkan peranan lebih berkesan dalam memastikan rakyat tahu serta memahami segala dasar yang diperjuangkan oleh kerajaan.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, ia termasuklah usaha kerajaan GRS untuk terus menuntut hak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Peranan serta tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

“Bagi saya, Program Jelajah Wanita GRS ini amat penting untuk menjelaskan dasar, perjuangan dan kejayaan kerajaan GRS selama kira-kira tiga tahun menerajui negeri ini, di semua zon di Sabah yang akan dilawati.

“Wanita GRS adalah tonggak kepada kekuatan parti yang mendokong kerajaan pada hari ini, bersama rakan-rakan daripada parti lain. 

“Justeru, pergerakan wanita parti komponen dalam GRS perlu terus meningkatkan persefahaman dan perpaduan yang sedia terjalin utuh, untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan demi aspirasi rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jelajah Wanita GRS Zon 1B Parlimen Tuaran dan Parlimen Kota Belud, di sini kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Pelancaran Jelajah Wanita GRS telah disempurnakan Hajiji pada 23 Julai 2023 lalu, di Kota Kinabalu.

Hajiji berkata, kerajaan GRS telah berhadapan dengan pelbagai ujian yang getir, sejak mengambil alih pentadbiran kira-kira tiga tahun lalu.

“Ini termasuklah ‘Langkah Kinabalu’, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan kerajaan negeri. Namun atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) kita dapat mempertahankan kerajaan negeri.

“Mandat ini perlu kita pertahankan, dan disinilah juga peranan Wanita GRS amat penting untuk kita terus mencipta kejayaan dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang.

“Semua jentera parti khususnya Wanita GRS tidak boleh leka dan berpecah, sebaliknya perlu terus bekerja untuk rakyat dan mendekati mereka di akar umbi. 

“Kita perlu terus memperkukuhkan perpaduan dan bersatu hati dalam komponen GRS serta tterus bekerja untuk rakyat dan negeri Sabah tercinta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan GRS telah membawa banyak kejayaan selama kira-kira tiga tahun memerintah negeri ini dan akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke seluruh Sabah, seperti yang diperlukan rakyat.

“Namun sudah menjadi lumrah, pihak pembangkang khususnya Parti WARISAN untuk terus menafikan pencapaian dan kejayaan kita, kerana mereka menghidap sindrom penafian.

“Sebenarnya WARISAN yang masih kabur-kabur dan tidak nampak apa yang kita telah buat dalam masa tiga tahun ini.

“Suka saya mengingatkan agar kita tidak buat silap lagi seperti dahulu hingga kita berpecah-belah. Kepentingan rakyat sentiasa kita dahulukan dan inilah perjuangan GRS,” katanya.

— Yap Siong Han