Home » Sabah alu-alukan pelabur asing, perkukuh industri tenaga, minyak & gas
Berita GRS Politik

Sabah alu-alukan pelabur asing, perkukuh industri tenaga, minyak & gas

BINCANG: Hajiji mengadakan perbincangan bersama Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran serta sokongan pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak.

“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips, Ryan Lance, di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Sementara itu, Ryan Lance memaklumkan ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau strategik global.

Menurutnya, syarikat itu terus memberi tumpuan pelaburan di Sabah sambil mengukuhkan komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia.

CENDERAMATA: Hajiji menerima cenderamata daripada Ryan semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

“Kami berbangga dapat bersama-sama membangunkan industri minyak dan gas di Sabah dan yakin sektor ini menyediakan potensi pertumbuhan masa hadapan yang cerah untuk negeri ini,” katanya, sambil menyatakan lawatan itu merupakan kunjungan pertamanya ke Sabah.

Untuk rekod, ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal bagi Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah selepas Petronas memindahkan pengendalian kluster berkenaan kepadanya pada 21 Januari 2025, sekali gus menjadikannya pengendali tunggal medan minyak dan gas berkenaan.

–TAMAT