Home » Masidi terima kunjungan hormat SCC, bincang hala tuju kewangan negeri
Berita GRS Politik

Masidi terima kunjungan hormat SCC, bincang hala tuju kewangan negeri

Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun (tengah) bergambar bersama delegasi Sabah Credit Corporation (SCC) selepas sesi kunjungan hormat di pejabatnya.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, menerima kunjungan hormat daripada Sabah Credit Corporation – Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dalam satu pertemuan yang berlangsung di pejabatnya, di sini, hari ini.

Kunjungan berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan SCC dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri secara inklusif dan mampan.

Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Panglima Masidi telah diberi taklimat mengenai prestasi semasa SCC, hala tuju perbadanan tersebut serta peranan berterusan yang dimainkan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor strategik ekonomi negeri.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SCC yang baharu, Datuk Rusdin Riman, atas pelantikan beliau, sambil menzahirkan keyakinan bahawa Rusdin mampu menggalas amanah yang diberikan serta memperkukuh lagi peranan SCC sebagai institusi kewangan pembangunan negeri.

Datuk Seri Masidi turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen SCC dalam membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah, khususnya melalui sokongan kewangan yang menyokong pembangunan usahawan tempatan dan penciptaan peluang pekerjaan.

Beliau menegaskan kepentingan amalan tadbir urus yang baik, ketelusan serta pengurusan kewangan yang berhemah bagi memastikan setiap inisiatif dan pembiayaan yang dilaksanakan memberi impak positif dan berterusan kepada kesejahteraan rakyat.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pembantu Menteri Kewangan II, Dato’ Ishak Ayub, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfia Nair, Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Datuk George Taitim Tulas, serta pegawai-pegawai kanan perbadanan berkenaan.

— TAMAT