Home » Mesyuarat Majlis Presiden GRS: STAR, SAPP akhiri keanggotaan
Berita GRS Politik

Mesyuarat Majlis Presiden GRS: STAR, SAPP akhiri keanggotaan

Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee memutuskan untuk keluar GRS dan bertanding solo dalam PRN17.

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sah meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan akan bertanding menggunakan lambang parti masing-masing pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, mengambil keputusan itu selepas mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Rabu di sini.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, dalam kenyataannya berkata, keputusan STAR dan SAPP dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang sedang dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).




“Dengan tindakan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS secara automatik terbatal. Ini bermakna kedua-dua parti berkemungkinan meletakkan calon di kerusi-kerusi yang juga akan ditandingi oleh PH,” katanya.

Masidi menjelaskan, Presiden STAR dan SAPP turut menyatakan mereka menghormati pendirian parti komponen lain seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Cinta Sabah (PCS) yang memilih untuk kekal bersama GRS serta meneruskan kerjasama strategik dengan PH.

Katanya, mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu diadakan dalam suasana mesra, terbuka dan penuh musyawarah. Semua pimpinan yang hadir akur dengan keputusan yang diambil dan tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi matang.

“Agenda utama mesyuarat adalah memantapkan strategi GRS menghadapi PRN17, termasuk rundingan agihan kerusi dengan PH. Hajiji turut mengingatkan bahawa semua komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan sebelum ini.

“Beliau menegaskan, atas prinsip kesatuan, GRS mesti bergerak sebagai satu entiti dengan semua calon menggunakan lambang GRS dalam PRN17. Mana-mana parti yang memilih bertanding menggunakan lambang sendiri dianggap keluar daripada GRS dan tidak lagi mewakili gabungan ini,” jelasnya.

Masidi berkata, GRS akan terus memperkukuh gerak kerja dan strategi politik dengan komitmen penuh terhadap kestabilan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

— TAMAT