KOTA MARUDU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, menziarahi dua keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Batu 4, di sini, Ahad lalu.
Mangsa, En. Thadeus Bainon dan En. Lasius Sibin, kehilangan tempat berteduh selepas kediaman mereka musnah dalam tragedi kebakaran pada 28 September.
Redonah, yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menzahirkan rasa simpati terhadap nasib kedua-dua keluarga berkenaan dan berharap mereka terus kuat serta tabah menghadapi dugaan ini.
“Kebakaran ini bukan sahaja memusnahkan tempat berteduh, malah turut memadamkan sebahagian kenangan indah bersama keluarga. Saya berdoa agar mereka dikurniakan ketabahan, semangat baharu serta dipermudahkan urusan kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif Ziarah Sayang akan terus dilaksanakan bagi memastikan masyarakat yang ditimpa musibah tidak berasa terpinggir.
Kehadiran Redonah bersama rombongan disambut baik oleh penduduk kampung, yang melihat langkah itu sebagai bukti keprihatinan kepimpinan terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
— TAMAT

























Add Comment