Home » Nizam harap Belanjawan 2023 mampu rapatkan jurang dengan Semenanjung
Uncategorized

Nizam harap Belanjawan 2023 mampu rapatkan jurang dengan Semenanjung

 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (gambar) yakin Belanjawan Malaysia Madani 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu merapatkan lagi jurang pembangunan antara tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ini kerana katanya, Sabah menerima suntikan khas secara terus sebanyak RM6.5 bilion dari RM388 bilion dalam Belanjawan Malaysia Madani 2023 iaitu peningkatan lebih tiga peratus berbanding tahun lalu.

Disamping itu katanya, Sabah turut menerima pelbagai peruntukan lain seperti RM20 bilion melibatkan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo di kedua-dua wilayah iaitu Sabah dan Sarawak serta peruntukan RM1.2 bilion bagi menaik taraf beratus klinik dan sekolah di kedua-dua wilayah.

Dalam pada itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas memberitahu, peruntukan RM1 bilion untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan dengan Indonesia termasuk di Kalabakan yang dibentang dalam belanjawan, akan turut memberi impak positif kepada ekonomi Sabah.

Justeru jelas beliau, pembinaan CIQ itu amat tepat memandangkan Indonesia pada ketika ini sedang membina bandar pentadbiran baharu di Nusantara, yang diyakini akan memberi impak terhadap ekonomi di Sabah.

“Rakyat khususnya di pedalaman menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor supaya CIQ yang sama akan turut dipertimbang untuk dibina di Bantul, Pensiangan, ” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, golongan petani, pekebun getah, belia, wanita, usahawan dari Sabah bakal turut sama menerima pelbagai kemudahan bantuan, pinjaman mahupun pengurangan cukai, seperti diumumkan.

“Saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk mengambil peluang-peluang ini dan PGRS sendiri akan mengambil inisiatif memberi penjelasan kepada rakyat.

“Terdapat RM1.7 bilion diperuntukkan untuk pinjaman kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana tahun ini menerusi Tekun, BSN dan Bank Negara. Peniaga Sabah harus ambil peluang ini lebih-lebih ekonomi kini semakin pulih dari tekanan pandemik COVID-19 dua tahun kebelakangan ini.

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan juga akan memperluas bantuan dan peluang kepada Sabah dalam usahanya, termasuk membuka tanah sebagai kawasan pertanian, untuk mempertingkat sumber makanan sekaligus membantu menurunkan kos bahan mentah makanan kita.

“Kita bersyukur dan pada masa sama ingin mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana menyediakan bajet pro-rakyat ini dan diharap ia landasan kepada bajet-bajet Madani yang lebih hebat pada tahun-tahun mendatang.

“Ini mungkin satu lagi titik permulaan bagi Sabah melonjakkan lagi pembangunannya mengejar Semenanjung, agar tidak lagi tertinggal di belakang dari segi pembangunan dan kemajuan sejak kita sama-sama membentuk negara Malaysia pada tahun 1963, ” kata Nizam.

— Kenneddy Corlleus