KOTA KINABALU: Ribuan pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Hajah Faridah Tussin.

Majlis itu yang dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf daripada sembilan buah institusi kebajikan sekitar kawasan pantai barat.
Dalam ucapannya semasa beramah mesra dengan para pengunjung, Hajiji mengajak rakyat berbilang kaum menggunakan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan lagi perpaduan dan persefahaman.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M.Yahya, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya serta menteri-menteri kabinet negeri.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025 dihadiri oleh kira-kira 20 ribu pengunjung itu, diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian.
Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah Raya termasuk hidangan tradisi lemang, ketupat dan sate serta pelbagai jenis kuih-muih.

— TAMAT
Add Comment