Home » Siasat arahan bekas Ketua Menteri luluskan dokumen pengenalan
Berita GRS Politik

Siasat arahan bekas Ketua Menteri luluskan dokumen pengenalan

Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun

KOTA KINABALU: Pendedahan dua pucuk surat rasmi yang mengandungi arahan bertulis daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, berhubung kelulusan permohonan dokumen pengenalan diri telah menimbulkan desakan agar siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kemungkinan berlaku campur tangan dalam sistem pendaftaran negara.

Surat bertarikh 26 April 2019 menunjukkan arahan kepada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, agar satu permohonan diluluskan. Sementara itu, surat kedua bertarikh 9 Oktober 2019 mengandungi minit kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berbunyi: “sukacita dapat diluluskan.”

Surat permohonan sokongan pengeluaran dokumen pengenalan diri bertarikh 26 April 2019 itu telah menimbulkan kegusaran dan persoalan orang awam sejauh manakah keterlibatan kerajaan negeri pada ketika itu dalam mempercepatkan permohonan dokumen diri JPN.

Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun, menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang tahap pengaruh politik negeri dalam urusan pendaftaran MyKAS, MyPR dan akhirnya MyKAD.

“Justin Wong boleh menyatakan bahawa Ketua Menteri tiada kuasa mutlak untuk meluluskan kewarganegaraan – kita tidak pertikai fakta itu.
Tetapi isu di sini ialah kenapa seorang Ketua Menteri boleh minit secara langsung supaya permohonan dokumen pengenalan diluluskan?” kata Mositun.

Menurut beliau, pemahaman umum bahawa MyKAS hanyalah dokumen sementara adalah tidak mencerminkan realiti sepenuhnya. Ini kerana pemegang MyKAS berpeluang memohon status pemastautin tetap (MyPR), dan seterusnya MyKAD, mengikut syarat dan tempoh yang ditetapkan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

“MyKAS sebenarnya titik permulaan kepada kewarganegaraan. Oleh itu, sebarang pengaruh luar terhadap kelulusan MyKAS – lebih-lebih lagi melalui arahan politik – adalah sangat membimbangkan,” tegas Mositun.

Beliau menegaskan, proses kelulusan dokumen pengenalan diri harus kekal bebas daripada pengaruh politik dan campur tangan negeri, bagi menjaga integriti sistem pendaftaran negara.

Mositun turut menggesa JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tampil mendedahkan secara telus jumlah permohonan MyKAS, MyPR dan MyKAD yang mendapat sokongan bertulis daripada Shafie Apdal semasa beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah antara 2018 hingga 2020.

Antara persoalan yang ditimbulkan:

  1. Adakah semua permohonan yang disokong melalui minit rasmi itu telah melalui proses dokumentasi, tapisan keselamatan dan pematuhan undang-undang?
  2. Apakah asas kepada arahan kelulusan tersebut?
  3. Adakah tindakan itu bertentangan dengan Akta Pendaftaran Negara 1959 atau mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan?

Beliau juga mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan sekiranya terdapat elemen penyalahgunaan kuasa atau ketirisan sistem pentadbiran.

Mengulas lebih lanjut, Mositun berkata bahawa rakyat Sabah masih belum melupakan kesan daripada Projek IC, iaitu pemberian kewarganegaraan kepada warga asing secara tidak sah pada era lampau, yang mencetuskan pelbagai kesan jangka panjang terhadap struktur sosial dan ekonomi negeri.

“Sabah pernah dibakar oleh kesilapan ini. Kita tidak mahu api lama dinyalakan semula melalui pintu belakang pentadbiran negeri.
Soal kewarganegaraan bukan mainan politik – ini soal kedaulatan negara,” ujar Mositun.

Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda Sabah berhak mengetahui kebenaran di sebalik minit rasmi yang tular dan mahu pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat.

— TAMAT