Home » SMJ 2.0 fokus modal insan, infrastruktur dan Ekonomi Biru Sabah
Berita GRS Politik

SMJ 2.0 fokus modal insan, infrastruktur dan Ekonomi Biru Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama jemaah kabinet negeri dan jemputan lain bergambar bersama anggota perkhidmatan awam yang menghadiri Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Di Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meletakkan pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur serta kelestarian hijau sebagai teras utama pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan yang dirancang bukan sahaja bersifat fizikal dan ekonomi, malah memberi impak langsung terhadap kualiti hidup rakyat.

Menurut beliau, pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM164.01 juta, meliputi peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian serta literasi kecerdasan buatan (AI).

“Di bawah SMJ 2.0, kerajaan negeri meneruskan komitmen terhadap pendidikan melalui penyediaan 14 jenis bantuan pendidikan bernilai RM203.4 juta, manakala peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat ketara daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Jumaat.

Hajiji berkata, secara keseluruhan seramai 480,000 pelajar Sabah menerima manfaat pelbagai bantuan pendidikan kerajaan negeri, termasuk langkah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi tujuan permohonan biasiswa dan kemasukan ke dalam perkhidmatan awam negeri.

Dalam aspek kesejahteraan rakyat, beliau berkata Program Rumah Mesra SMJ telah dimanfaatkan oleh 7,482 penerima, dan diteruskan pada tahun ini dengan 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), khusus untuk golongan miskin, miskin tegar serta pasangan muda yang baharu berumah tangga.

Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM339.16 juta bagi tahun ini, selari dengan bantuan Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah.

Mengulas teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, Hajiji berkata sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari di seluruh negeri.

Peruntukan itu merangkumi projek strategik seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan dan naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik, serta pembangunan tenaga baharu termasuk OTEC, hidroelektrik dan penjanaan tenaga biru.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memperluas infrastruktur digital melalui pelaksanaan Pusat e-Desa, sistem VSAT dan Starlink, selaras dengan agenda kerajaan digital berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Dalam usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar, beliau berkata sebanyak RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar serta tindakan mitigasi perubahan iklim.

“Sasaran kerajaan negeri ialah mencapai 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Area – TPA) menjelang tahun 2030, selaras dengan komitmen global terhadap kelestarian alam,” katanya.

Hajiji berkata Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik baharu SMJ 2.0, merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik, pelancongan lestari serta pemanfaatan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.

Sebagai sokongan pembiayaan, kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif Blue Financing melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Maybank, melibatkan penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan pelaksanaan awal sebanyak RM300 juta bagi memudahkan syarikat terlibat mengakses kemudahan kewangan.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa kejayaan SMJ 2.0 amat bergantung kepada peranan penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar kerajaan.

“Kecekapan, integriti dan disiplin penjawat awam akan menentukan sejauh mana dasar dan perancangan diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, sebaliknya berani membuat keputusan demi kepentingan jangka panjang Sabah walaupun ada kalanya tidak popular.

“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama — memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan serta pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab demi rakyat hari ini dan generasi akan datang,” katanya.

–TAMAT