TAWAU: Kerajaan negeri memuji Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung sebagai perintis apabila muncul sebagai sekolah agama pertama di Malaysia yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses pembelajaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata inisiatif itu membuktikan institusi pendidikan agama di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan, malah bersedia mendepani cabaran pendidikan masa depan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Beliau berkata, kejayaan pembinaan sekolah berkenaan yang siap dalam tempoh hanya tiga bulan hasil sumbangan masyarakat setempat amat membanggakan, sebelum kerajaan negeri tampil membantu memperluaskan lagi kemudahan sekolah berkenaan.
“Ini satu pencapaian yang sangat baik dan membuktikan bahawa sekolah agama juga mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan SAN Apas Balung, di sini, pada Ahad.
Menurut Hajiji, SAN Apas Balung bukan sekadar berperanan sebagai perintis, malah wajar dijadikan contoh serta rujukan kepada sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat lain dalam usaha memodenkan sistem pembelajaran tanpa mengabaikan nilai serta teras pendidikan Islam.

“Penggunaan teknologi AI dalam pendidikan agama adalah selari dengan keperluan generasi masa kini yang terdedah kepada teknologi digital, sekali gus memastikan institusi pendidikan Islam kekal relevan, berdaya saing dan progresif.
“Teknologi yang canggih perlu dimanfaatkan untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Mengulas perancangan masa hadapan, Hajiji berkata kerajaan negeri menyambut baik cadangan pihak pengurusan sekolah untuk menubuhkan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di kawasan berkenaan.
“Penubuhan SMAN ini amat bertepatan memandangkan permintaan masyarakat Islam terhadap pendidikan agama di Sabah semakin meningkat.
“Perancangan ini perlu diperluaskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan Islam secara lebih tersusun,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa cadangan ke arah penubuhan institusi pengajian tinggi atau universiti Islam merupakan langkah positif dalam melengkapkan ekosistem pendidikan agama di negeri ini.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan mengatur peruntukan sewajarnya bagi menyokong pembangunan sekolah menengah agama pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan membantu mengikut keupayaan dan kemampuan yang ada,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment