KOTA KINABALU: Kenyataan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan serta kawal selia minyak dan gas merupakan pandangan pihak tertentu dan bukan pendirian rasmi Kerajaan Negeri Sabah, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, perkara berkenaan masih dalam proses rundingan dan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian terbaik demi kepentingan Sabah.
“Itu pandangan mereka. Kita di Sabah masih berbincang mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, rundingan berkaitan pelaksanaan MA63 terus berjalan dan kerajaan negeri kekal komited memastikan hak serta kepentingan Sabah dapat direalisasikan melalui saluran perbincangan yang berlandaskan Perlembagaan dan semangat pembentukan Malaysia.
“Ketika ini, ia masih dalam proses perbincangan untuk direalisasikan. Insya-Allah, kita tunggu perkembangan seterusnya,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan pandangan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini yang menyatakan MA63 tidak mengandungi peruntukan khusus berkaitan pemilikan serta pengawalseliaan sumber petroleum, sekali gus mencetuskan reaksi pelbagai pihak di Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Roger Chin, menegaskan MA63 tidak boleh ditafsir secara sempit, khususnya dalam isu berkaitan minyak dan gas.
Roger, yang juga bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), berkata MA63 bukan undang-undang teknikal untuk mengawal industri tertentu, sebaliknya merupakan perjanjian asas pembentukan negara yang menetapkan kerangka pembahagian kuasa, hak dan kepentingan antara Kerajaan Persekutuan serta negeri-negeri pembentuk Malaysia.
Menurutnya, MA63 memperoleh kekuatan perundangan melalui penggabungannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru tidak wajar ditafsir secara literal semata-mata hanya kerana tiada peruntukan khusus menyebut mengenai minyak dan gas.
Beliau turut berpandangan bahawa penggubalan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sendiri menunjukkan Persekutuan tidak mempunyai pemilikan asal terhadap petroleum, manakala tindakan Sarawak mengekalkan undang-undang berkaitan minyak dan gas negeri merupakan pelaksanaan kuasa yang tidak pernah dimansuhkan secara sah.
Perbahasan mengenai tafsiran MA63, khususnya berkaitan sumber asli, terus menjadi tumpuan apabila Sabah dan Sarawak menegaskan kedudukan mereka sebagai rakan pembentuk Persekutuan yang mempunyai hak dan autonomi seperti yang dijanjikan ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
–TAMAT

























Add Comment