Home » SDB di bawah kepimpinan baharu, Yusof tekad pacu pembangunan Sabah
Berita GRS Politik

SDB di bawah kepimpinan baharu, Yusof tekad pacu pembangunan Sabah

AMANAH BESAR: Datuk Dr Yusof Yacob memulakan tugas sebagai Pengerusi SDB dengan komitmen memperkukuh peranan syarikat milik kerajaan negeri dalam pembangunan Sabah.

KOTA KINABALU: Datuk Dr Yusof Yacob dilantik sebagai Pengerusi baharu Sabah Development Berhad (SDB), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Sabah di bawah Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan Negeri.

Yusof, yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, menggantikan Datuk Poon Ming Fung.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin itu secara rasmi memulakan tugasnya hari ini di Pejabat SDB, Blok C Menara Kinabalu.

Beliau menerima taklimat ringkas mengenai operasi dan hala tuju SDB yang turut dihadiri beberapa ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan syarikat.

KENANGAN:Yusof (tengah) bersama ahli lembaga pengarah dan pengurusan SDB.

Dalam sesi berkenaan, Yusof merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui syarikat itu.

Beliau menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu amanah besar dan tanggungjawab penting bagi memastikan SDB terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik kerajaan negeri yang berdaya saing dan berprestasi tinggi.

Menurutnya, pada peringkat awal, beliau akan memberi tumpuan untuk mendalami peranan serta hala tuju strategik SDB termasuk anak-anak syarikatnya.

“Antaranya Jetama Sdn Bhd, supaya dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

–TAMAT