KOTA KINABALU: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berhubung isu tanah di Kudat, jelas berniat mahu menjatuhkan reputasi pemimpin itu.
Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) Datuk Robert Tawik (gambar) berkata, tindakan itu dilihat bukan sahaja mahu mencemarkan imej Ketua Menteri tetapi juga mahu mengganggu tumpuan Hajiji dalam meneruskan agenda pembangunan Sabah.
Namun kata Robert, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana Ketua Menteri sesekali tidak menyalahgunakan kuasa sebaliknya isu kelulusan urus niaga tanah di Kudat telah melalui prosedur dan mengikut undang-undang.
Walaupun terdapat dakwaan itu yang cuba menjatuhkan reputasi Hajiji, kerajaan Sabah pimpinannya telah membuktikan keupayaan kerajaan yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membawa pembangunan untuk rakyat Sabah.
“Dalam tempoh tiga tahun menerajui kerajaan, GRS telah terbukti melaksanakan pelbagai pembangunan terutama hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Keprihatinan Ketua Menteri sungguh luar biasa kerana beliau amat dekat dihati rakyat, faham segala keperluan rakyat.
“STAR sebagai parti dalam GRS akan terus memberikan sokongan padu terhadap Hajiji untuk terus mengurus tadbir negeri Sabah ke tahap yang lebih cemerlang bagi membolehkan beliau melaksanakan pelan SMJ untuk rakyat dengan jayanya.
“Apapun dakwaan yang tidak baik terhadap Ketua Menteri, saya yakin rakyat dapat berfikir dengan matang dan mampu menilai apa yang benar mahupun sebaliknya kerana isu yang ditimbulkan hanya mahu mengelirukan rakyat.
“Fitnah tidak bertanggungjawab itu cuma mahu mengganggu tumpuan Ketua Menteri dan menghasut rakyat supaya menghukum Hajiji, tetapi semua tahu apa yang didakwa sama sekali tidak benar.
“Hajiji juga telah meminta peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu itu atas tindakan pemilik akaun media sosial kerana menyiarkan dakwaan yang telah mencemarkan nama baiknya, ” katanya.
Dalam perkembangan lain, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut menyokong saranan Hajiji untuk menghidupkan semula Pengakap Sempadan, yang juga dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH) di Sabah.
Jelas Robert yang menyokong saranan itu berkata, ia membuktikan Hajiji amat prihatin terhadap isu keselamatan rakyat, yang mahu rakyat Sabah dapat menjalani hidup dengan lebih selesa, aman dan makmur.
“Saya amat bersetuju dan menyokong saranan Hajiji untuk menghidupkan semula Pengakap Sepadan ini. Ia berketepatan pada masanya dalam usaha menjamin keselamatan Sabah dan rakyat di negeri ini, ” katanya.
Robert berharap Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya dengan memberikan restu dan kelulusan untuk menghidupkan semula Pengakap Sempadan untuk Sabah.
Justeru Robert meminta rakyat khususnya di Sabah supaya terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Ketua Menteri kerana begitu prihatin dengan mengambil berat pelbagai perkara termasuklah usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat.
Add Comment