Home » Tumpu jayakan SMJ demi bangunkan Sabah- Pemuda Gagasan Rakyat Klias
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Tumpu jayakan SMJ demi bangunkan Sabah- Pemuda Gagasan Rakyat Klias

Shahril berkata demikian ketika ditemui wakil media bagi mengulas saranan Hajiji yang juga Ketua Menteri baru-baru ini semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tamparuli.

BEAUFORT: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin menyambut baik saranan Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang meminta semua pihak memberi tumpuan membangunkan Sabah.

Mengulas lanjut Shahril memberitahu, saranan itu wajar disahut semua parti komponen dalam GRS bagi mengelak daripada pertelingkahan sekaligus memastikan semua Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dicapai demi masa depan Sabah.


Beliau yakin sekiranya parti-parti dalam GRS berpegang pada amanat Pengerusi agar tidak terlalu berpolitik, Shahril percaya ia tentu dapat menjayakan perancangan pembangunan dalam hala tuju SMJ.

Shahril berkata demikian ketika ditemui wakil media bagi mengulas saranan Hajiji yang juga Ketua Menteri baru-baru ini semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tamparuli.


Kata Hajiji semasa perasmian mesyuarat itu, Gagasan Rakyat tidak bersaing dengan rakan komponen GRS, Gagasan Rakyat dibentuk bukan untuk bermain politik, sebaliknya menumpukan pembangunan segala aspek di Sabah.

Sehubungan itu kata Hajiji, adalah penting penubuhan Gagasan Rakyat mempunyai kerjasama kukuh dengan semua komponen GRS di 73 bahagian.


Tambah Hajiji, kekuatan kesatuan adalah penting agar GRS dapat terus memimpin kerajaan negeri.


Dalam pada itu, Shahril yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Klias turut menyatakan sokongan terhadap hala tuju SMJ dan berharap rakan dalam GRS turut sama menyokong hala tuju itu demi manfaat rakyat dan Sabah sendiri.


Katanya, usaha untuk memastikan semua hala tuju SMJ dapat dicapai, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan menterjemahkan sokongan kearah kestabilan politik demi kelangsungan pembangunan.


Beliau yakin, sayap Pemuda serta Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat bahagian itu akan terus bekerja selari dengan perjuangan parti bagi memastikan kejayaan hala tuju itu agar ia akan memberi manfaat serta faedah kepada seluruh lapisan rakyat.

Berbaki beberapa tahun lagi sebelum Pilihan Raya Negeri akan datang, beliau percaya kerajaan Sabah pimpinan GRS akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan yang ada pada hari ini berupaya mengangkat Sabah ke tahap yang lebih baik.

Jelas beliau, kunci kepada pembangunan negeri bukan sahaja melalui kestabilan politik tetapi juga kesepaduan dan kebersamaan iaitu perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS, yang secara tidak langsung mampu menjayakan matlamat SMJ.

Terdahulu, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Klias telah mengadakan mesyuarat tahunan yang dirasmikan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias, Datuk Isnin Aliasnih pada Ahad.

— Kenneddy Corlleus