KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyangkal dakwaan berhubung salah guna kuasa dalam meluluskan urus niaga tanah di Kudat.
Beliau menyifatkan pihak yang melemparkan tuduhan itu sebagai berniat buruk, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan nama baiknya.
“Pejabat saya akan memberikan kerjasama penuh kepada sebarang siasatan berhubung dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hajiji menegaskan, semua permohonan tanah diluluskan mengikut prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC) dan diproses di pejabat.
“Permohonan tanah Yayasan Sabah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd, dan semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya menjawab dakwaan terbabit.
Menurutnya, siasatan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mengeluarkan dokumen sulit untuk digunakan dalam dakwaan berkenaan.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak berkuasa turut dimaklumkan mengenai akaun Facebook terbabit yang menyiarkan dakwaan untuk mencemarkan nama baiknya.
“Saya akan berunding dengan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.
Sebelum ini tular di Facebook berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan kelulusan urus niaga tanah di antara kerajaan negeri dengan seorang ahli perniagaan dari Sarawak.
Bagaimanapun, dakwaan terbabit dipercayai melibatkan fakta rekaan semata-mata memandangkan hasil semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) menunjukkan semua permohonan tanah diproses mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada.
— TAMAT
Add Comment