SIPITANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin baru-baru ini telah mengadakan Mesyuarat Tahunan Bahagian yang diadakan di Dataran QSS.
Mesyuarat Tahunan Bahagian Gagasan Sindumin telah dirasmikan oleh Naib Presiden III Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dalam ucapan menyeru ahli-ahli di bahagian itu supaya mengambil pendekatan yang proaktif dengan mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, ia penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja memahami apa yang telah dan akan diperjuangkan parti yang menerajui kerajaan tetapi juga dapat membantu akar umbi dari pelbagai aspek terutama soal pembangunan.
Tambahnya, rakyat perlu mengetahui apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kerana ia berupaya meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan bagi merealisasi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diilhamkan bersama parti-parti dalam gabungan itu, demi manfaat rakyat.
Dengan keahlian kini bahagian itu yang telah mencecah seramai 6,000 ahli, Yusof percaya ia bukan sahaja dapat menyumbang kepada kekuatan parti dan gabungan tetapi juga pada masa sama dapat membantu mendekati rakyat di bahagian itu.
Yusof juga yakin keahlian bahagian itu akan terus meningkat dari masa ke semasa kerana sayap parti termasuk cawangan sentiasa bergiat aktif, yang telah terbukti memainkan peranan sejak dua bulan lalu bagi menarik ahli-ahli baharu.
Dalam pada itu, Yusof turut menegaskan pendirian bahagian itu yang menyokong penuh kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga merupakan Pengerusi GRS.
Sokongan itu merupakan pendirian Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin yang mahu Hajiji terus menjadi Ketua Menteri bagi memastikan agenda SMJ dapat dilaksanakan dengan jayanya sekaligus memberi manfaat kepada rakyat serta negeri Sabah.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment