KOTA KINABALU:Â Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menaikkan peruntukan pembangunan untuk Sabah kepada RM6.6 billion.
Peningkatan itu kata Shahril sudah tentu dapat memberi manfaat kepada Sabah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang diperlukan di negeri itu sekaligus menangani isu yang membelenggu rakyat terutama kemudahan asas serta jalan raya.
Selain Sabah, Sarawak juga diperuntukan dengan RM5.8 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk tujuan pembangunan yang diyakini akan memberi rangsangan pertumbuhan di kedua buah negeri di Borneo.
Penurunan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak yang disebut Anwar daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri juga diyakini dapat memberi impak yang baik dari sudut keberkesanan pelaksanaan.
Belanjawan Madani kedua dengan anggaran belanjawan sekitar RM393.8 bilion untuk 2024 memberi gambaran yang jelas kesungguhan Kerajaan Perpaduan mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Shahril turut menempelak pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencetus isu dengan mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyalah guna kuasa berhubung urus niaga tanah di Kudat.
Katanya, dakwaan itu hanyalah fitnah bagi memburukkan nama Ketua Menteri yang ketika ini menerajui kerajaan negeri dengan niat mahu menjatuhkan reputasi baik Hajiji di mata rakyat, sedangkan sudah banyak usaha yang telah dilakukan kerajaan yang diterajui GRS.
Jelas beliau, apabila kerajaan GRS telah mencapai kejayaan demi kejayaan dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk rakyat, pembangkang rasa tercabar dengan kemampuan gabungan yang memimpin kerajaan, dan hanya fitnah dapat mengaburi mata rakyat.
Tuduhan yang dibuat keatas Hajiji itu merupakan taktik kotor dan seharusnya rakyat bijak menilai dakwaan itu bagi mengelak daripada terus mempercayai apa yang dikongsikan menerusi media sosial.
Beliau percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan fitnah-fitnah yang berleluasa di media sosial dan yakin sebahagian besar menyokong kerajaan yang menerajui negeri ketika ini kerana telah membawa Sabah ke satu tahap yang membanggakan.
Shahril percaya dengan baki dua tahun lagi, lebih banyak pembangunan akan dibawa dan banyak manfaat akan dinikmati seluruh lapisan rakyat sekaligus menjadikan Sabah lebih maju dan makmur dari pelbagai aspek.
–Kenneddy Corlleus