Home » Lebih 50,000 ahli wanita, bukti Gagasan Rakyat diterima rakyat – Redonah
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Lebih 50,000 ahli wanita, bukti Gagasan Rakyat diterima rakyat – Redonah

Redonah turut menggesa ahli wanita di peringkat akar umbi supaya sentiasa bersatu padu dan menjalinkan perpaduan sesama mereka.

SANDAKAN: Keahlian lebih 50,000 wanita dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bukti penerimaan rakyat terhadap parti ini semakin baik sejak ia ditubuhkan.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, jumlah itu dijangka akan terus meningkat memandangkan masih ramai lagi dalam proses pendaftaran keahlian.

Katanya, sambutan yang diterima daripada rakyat terutamanya wanita sangat memberangsangkan kerana mereka yakin dengan matlamat dan hala tuju perjuangan Gagasan Rakyat.

“Sasaran kita untuk peringkat permulaan adalah seramai 30,000 orang, namun syukur sekarang sudah melebihi 50,000 iaitu lebih daripada jangkaan.

“Saya menggesa ahli wanita di peringkat akar umbi supaya sentiasa bersatu padu dan menjalinkan perpaduan sesama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Perwakilan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sungai Sibuga, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sokongan padu semua ahli wanita dapat membantu menyampaikan mesej perjuangan parti dan berkhidmat kepada rakyat keseluruhannya.

Sementara itu, katanya, jentera wanita Gagasan Rakyat yang dikenali sebagai G10 akan dilancarkan pada bulan hadapan sebagai usaha membantu mengemaskini jentera parti di setiap bahagian.

“Kita sedang melaksanakan siri jelajah ke seluruh negeri bagi mengukuhkan parti dan mencari keserasian dengan semua komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya. 

— Hamzah Sanudin